Monday 16 January 2012

Sejarah Rumah Tradisional Penghulu Md Natar

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Rumah tradisional Penghulu Md Natar ini bertempat di Merlimau, Melaka. Lebih jelas lagi, rumah ini bertempat di Kampung Permatang Serai, Merlimau. Rumah tradisional ini dibuka pada tahun 1831 oleh Penghulu Abd Ghani. Rumah ini merupakan rumah warisan yang diwariskan kepada seluruh keturunan Penghulu Abd Ghani ini sendiri. Untuk pengetahuan anda, rumah ini telah di bina sebelum zaman komunis lagi dan ternyata rumah ini sudah beratus tahun lamanya namun tetap teguh berdiri. 

Betapa hebatnya binaan rumah ini sehingga detik ini ianya kekal dengan seni binanya yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri dan keistimewaan yang tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana sejarah rumah tradisional. Penghulu Abd Ghani telah meninggal dunia pada tahun 1884 dan kemudian rumah ini telah diwariskan kepada anak lelakinya iaitu Penghulu Md Natar. 

Rumah ini mempunyai pelbagai unsur yang unik dan menarik. Rumah ini mempunyai pengaruh Palembang, Cina, India dan juga Bugis. Kepelbagaian ini di adaptasikan pada setiap ukiran rumah dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Rumah tradisional ini dikhaskan sebagai tempat kediaman keluarga.

Pada masa dahulu, rumah ini juga berperanan sebagai pusat pengurusan mukim yang turut menyediakan ruang memasak di belakang rumah, tempat untuk mengadakan mesyuarat pembesar, pusat perbincangan, perbicaraan dan penyelesaian masalah. Malah, rumah ini pernah dijadikan sebagai lokap atau penjara kepada pesalah sebelum mereka dihantar kepada polis.

Kesimpulannya, rumah tradisional ini mempunyai seribu satu sejarahnya yang tersendiri. Justeru itu, marilah kita menghargai dan terokai warisan Melayu dan tradisinya yang istimewa.



Saya akhiri pengenalan ini dengan serangkap pantun.

Bunga kebangsaan bunga raya,
Menjadi simbol kebanggaan negara,
Marilah kita bersama-sama,
Perkasakan warisan dan budaya.

Sekian terima kasih.
Salam satu Malaysia.

No comments:

Post a Comment